JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo sedang mendorong transformasi dalam sektor teknologi negara dalam mengubah statusnya daripada sebuah negara pengguna kepada pengeluar sekali gus mengurangkan pergantungan kepada pasaran asing.

Joko Widodo juga dikenali sebagai Jokowi membayangkan Indonesia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan teknologi global, memerlukan inovasi berani untuk seiring dengan evolusi pesat teknologi.

"Saya bersyukur kerana kita kini mempunyai Indonesia Digital Test House (IDTH), sebuah pusat ujian bertaraf antarabangsa, dibina dengan kos 980 bilion rupiah (US$61 juta) dengan peralatan moden," katanya pada majlis perasmian IDTH pada Selasa.

Majlis itu disiarkan secara langsung menerusi Youtube Sekretariat Presiden.

Terletak di Depok, Jawa Barat, IDTH memperakui peranti digital seperti komputer riba, peranti bluetooth dan telefon mudah alih, memastikan ia memenuhi piawaian keselamatan dan pengguna sebelum dipasarkan.

Jokowi berharap IDTH dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Informatika akan muncul sebagai hab untuk memacu inovasi, mengukuhkan ekosistem teknologi digital tempatan dan menyediakan akses mudah kepada pensijilan.

Beliau menegaskan bahawa pergantungan besar Indonesia terhadap teknologi import telah menyebabkan defisit perdagangan hampir US$2.1 bilion atau lebih 30 trilion rupiah.

Import mendominasi permintaan ujian, dengan China menyediakan 3,046 peranti berbanding Indonesia 632, kata Jokowi sambil menambah bahawa daripada 320 pembekal peranti Apple global, Filipina mempunyai 17; Malaysia, 19; Thailand, 24 dan Vietnam, 72.

-- BERNAMA